Wednesday, April 10, 2013

Kebahagiaan Itu Dekat

Hampir semua orang mengharapkan kebahagiaan. Andai mereka boleh membelinya, tentu mereka akan membelinya walaupun harganya sangat mahal. Andai kebahagiaan itu terletak di puncak gunung yang tinggi, pasti mereka akan mendaki gunung itu untuk mendapatkannya.

Tapi di manakah kebahagiaan? Apakah ia merupakan sesuatu yang sangat mahal dan sangat susah untuk dicapai? Apakah ia hanya boleh dimiliki oleh orang-orang tertentu sahaja, iaitu mereka yang memiliki banyak harta, memiliki kekuasaan dan memiliki status sosial yang tinggi?

Di manakah sumber kebahagiaan itu? Apakah ia berada di luar diri kita? Apakah kebahagiaan itu bersumber daripada wang dan harta benda yang kita ada? Jika tidak bahagia, apakah ia disebabkan musibah dan bencana yang menimpa kita?

Jawapan daripada pertanyaan-pertanyaan di atas adalah tidak!

Kebahagiaan sebenarnya tidak mahal. Ia tidak susah untuk dicari dan dimiliki. Ia bukan hak golongan tertentu. Dan ia sama sekali tidak bersumber daripada apa-apa yang ada di luar diri kita. Ini semua telah dibuktikan oleh kajian-kajian akademik dalam bidang Psikologi Positif.

Kajian-kajian itu mendapati bahawa kebahagiaan dan kepuasan hidup amat sedikit ditentukan oleh faktor-faktor luaran seperti wang dan seumpamanya. Ia lebih banyak ditentukan oleh karektor dan sikap di dalam diri seseorang. Sebagai contoh, hasil kajian menunjukkan orang yang menang judi nombor ekor menyatakan mereka tidak berasa terlalu bahagia dibandingkan dengan keadaan sebelum menang. Dengan kata lain, walaupun mereka tiba-tiba mendapat wang yang banyak, tidak ada peningkatan kebahagiaan dan kepuasan hidup selepas itu.

Demikian juga dengan kajian ke atas orang-orang yang mengalami kemalangan dan lumpuh. Selepas mengalami kemalangan, pada mulanya mereka memang terasa hilang kebahagiaan. Tetapi setelah beberapa lama, mereka kembali pada tahap kebahagiaan dan kepuasan yang sama dengan sebelum mereka mengalami kemalangan.

Ini semua menunjukkan bahawa faktor luaran, seperti wang dan musibah kemalangan tidak memberi perubahan yang signifikan terhadap tahap kebahagiaan dan kepuasan hidup seseorang. Perubahan yang terjadi juga biasanya tidak bertahan lama. Kalau begitu, apa yang boleh memberi pengaruh yang signifikan terhadap kebahagiaan? Jawapannya adalah sikap dan karektor kita. Sikap dan karektor macam mana yang boleh membawa kepada peningkatan kebahagiaan? Sebahagian besar kajian itu menunjuk pada satu sikap: Syukur!

(Dari buku ‘Bersyukurlah Kerana-Nya’, Syed Alwi Alatas)


No comments:

Post a Comment