Thursday, February 20, 2014

Bersyukurlah kerana-Nya

Assalammualaikum wrh. Apa khabar pembaca sekalian. KA harap semuanya dalam keadaan yang sihat. Tulisan kali ini adalah untuk mengajak pembaca sekalian berfikir tentang nikmat dan bersyukur dengan nikmat yang dimiliki. Alhamdulillah, Allah memberikan KA peluang untuk menikmati salah sebuah daripada “nikmat-Nya” iaitu buku karangan Syed Alwi Alatas yang berjudul “Bersyukurlah Kerana-Nya”. Membaca sinopsisnya sahaja sudah mampu menggerakkan hati dan minda untuk menyedari serba sedikit tentang nikmat Allah, apatah lagi dengan menyelak setiap lembaran yang ada. 


“Setiap saat yang berlalu dalam kehidupan manusia, dilimpahi nikmat daripada Allah. Setiap udara yang disedut dan dihembus keluar, setiap degupan nadi yang berdenyut dan setiap apa yang ada pada diri kita adalah sejuzuk kecil daripada sekian banyak nikmat yang kita kecapi. Namun, berapa ramai antara kita yang memanjatkan syukur dan berterima kasih kepada Allah?”

Bersyukurlah kerana-Nya, ternyata memang berkesan untuk membuka mata dan hati kita untuk melihat betapa banyaknya nikmat yang diperolehi, lantas mendorong kita untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur. Antara perkara yang boleh dikongsi adalah, nikmat itu indah. Bagaimana? Apabila kita menyedari, segala apa yang pernah dan sedang dimiliki adalah kerana pemberian Allah (nikmat dari-Nya) pasti kita akan menjadi hamba yang benar-benar bersyukur. Untuk menjadi hamba yang bersyukur, sudah tentulah kita perlu melalui fasa yang tertentu.

Pertama: Mengetahui setiap apa yang dimiliki ataupun dirasai adalah nikmat Allah. Udara untuk bernafas, anggota badan yang lengkap serta sihat, akal yang waras, harta yang dimiliki, anak-anak yang ramai, masih bernyawa sehingga ke saat ini (dan selebihnya, KA beri peluang kepada pembaca untuk memikirkan nikmat yang kita rasai).

Kedua: Syukuri nikmat yang ada. Pernah dengar bait lagu ini? “Syukuri apa yang ada, Hidup adalah anugerah…”. Seperti dalam bait lagu ‘Jangan Menyerah’ini, Allah juga telah mengingatkan manusia tentang “Syukur” dalam kitabnya. Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali. Kebanyakannya dengan soalan bernada sinis. Tidak percaya? Ayuh selak tafsir.

“Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.” (Al-‘Adiyat: ayat 6). 
“Allah yang menjadikan malam untuk kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Ghaffir: 61). 

Cuba renungkan bersama mengapa Allah menekankan bahawa ramai sungguh manusia yang tidak mahu bersyukur? Adakah kita dalam golongan yang terlalu banyak dan tidak mahu bersyukur ataupun dalam golongan yang sedikit tetapi bersyukur? Bercakap tentang syukur, Mahukah pembaca mengetahui fakta yang menaroik tentang syukur? Fakta yang menarik tentang syukur adalah, selain mendekatkan hubungan dengan Allah, ia juga berfungsi sebagai “pengikat” ataupun “penarik” nikmat-nikmat tambahan daripada Allah. Bukankah ini mendorong kita untuk lebih bersyukur? Semakin banyak kita bersyukur, maka semakin banyak nikmat yang akan kita perolehi, bahkan berlipat ganda. Namun, jika kita kufur nikmat pula, nikmat itu semakin lama semakin menghilang dan akan bertukar menjadi azab. Bagaimana nikmat menjadi azab? Ia adalah kerana, dengan nikmat yang diperolehi itu, kita semakin jauh dengan Allah. Kita yakin, bahawa nikmat itu diperoleh dengan usaha dendiri dan bukannya dari Allah. Cuba bayangkan apa yang akan jadi, apabila kita tidak mahu bersyukur dengan Allah? Semakin banyak kita meninggi diri, semakin jauh kita dari rahmat Allah.  
 Nikmat -> Bersyukur (Tahu nikmat itu datang dari Allah = Timbul rasa syukur. Bersyukur dengan rasa syukur )-> Bahagia

Ketiga: Setelah wujudnya kesyukuran, maka akan tiba kebahagiaan. Hmm, tidak mustahil bukan? Sebagai contoh, udara yang kita sedut dan hembus saban waktu adalah diberi secara percuma dengan Allah. Kesihatan fizikal dan mental adalah dengan izin Allah, dan banyak lagi nikmat yang kita nikmati. Nikmat sebegini, mungkin kita hanya pandang sebelah mata sahaja, namun cuba bayangkan jika nikmat yang kita ada sekarang, ditarik semula oleh Allah. Bayangkan, Allah menghilangkan oksigen, bagaimana kita hendak meneruskan hidup setelah itu? Mustahil! Bagaimana kita mahu bernafas jika tiada oksigen, betul? Dan tahukah pembaca sekalian bahawa nikmat bernafas itu adalah serendah-rendah nikmat Allah?  Subhanallah, begitu besar nikmat yang telah Allah berikan kepada kita selama ini.Cuba bayangkan pula, anggota yang selama ini lengkap, terpaksa dipotong ataupun dibuang. Kita terpaksa hidup dengan keadaan sebegitu buat selama-lamanya. Adakah keadaan dahulu dan sekarang akan sama? Sudah tentu tidak, bahkan mungkin sukar. Sebab itulah, apabila kita bersyukur, kita pasti akan sentiasa rasa cukup. Untuk menikmati kebahagiaan ini pula, bukannya susah manapun. Fikirkan apa yang kita miliki sekarang dan bandingkan dengan keadaan yang dahulu. Bukannya fikirkan masa kini dan cuba bandingkan masa depan. Apabila kita sibuk memikirkan sesuatu yang belum dimilki, pasti kita akan berada dalam keadaan yang tertekan. Teramat mustahil untuk kita rasa bahagia apabila sedang tertekan.  

Hmm. Nikmat yang kita miliki ni sebenarnya banyak. Teramat banyak. Sukar untuk dihitung. Oleh itu syukurilah. Tahukah pembaca sekalian bahawa, ujian itu adalah nikmat dari Allah? Hah, antara nikmat yang kita perolehi daripada ujian adalah ; nikmat penghapusan dosa, nikmat pengajaran, nikmat pendorong untuk mendekati Allah, nikmat penggantian dengan sesuatu yang lebih baik dan banyak lagi. perkara yang menarik tentang nikmat pula, ia boleh menjadi ujian buat kita. Kadang Allah memberikan kita nikmat untuk melihat sama ada kita ini hamba-Nya yang bersyukur ataupun tidak? Jika kita beryukur, maka luluslah kita. Jika kita kufur, maka istidraj lah jawapannya (diazab dengan nikmat. Contohnya, semakin membuat maksiat tetapi semakin berharta = semakin berdosa). Maka banyakkanlah bersyukur. Bersyukur pula, bukan dengan mengatakan, “Alhamdulillah aku mendapat nikmat ini kerana aku layak.” Tetapi beryukurlah dengan cara ini, “Alhamdulillah, aku mendapat nikmat ini, meskipun aku tidak layak menerimanya.” Kenapa kita tidak layak menerimanya? Memang tidak layak pun. Sedangkan orang yang beribadah 500tahun pun belum mampu menebus ganjaran syurga untuk dirinya melainkan dengan rahmat Allah, inikan pula dengan kita? 


Akhir sekali, ini adalah cara untuk mengekspresikan rasa syukur kepada Allah: Memerhatikan tanda kekuasaan Allah, memerhati kejadian siang dan malam, memerhati perubahan positif pada diri, memerhati kesempurnaan hokum Allah. Tunggu apa lagi? Ayuh kita ekspresikan rasa syukur terhadap nikmat yang dimiliki untuk mengecap kebahagiaan.

Selamat membaca.

http://myblog-servantallah.blogspot.com/2014/01/bersyukurlah-kerana-nya.html

Friday, July 26, 2013

Bersyukur dan Berbagi

Kalau kita tinggal di negeri yang aman, bersyukurlah
Kerana banyak negeri yang sebelumnya aman, kini dilanda fitnah dan peperangan

Kalau kita boleh makan cukup 3 kali sehari, bersyukurlah
Kerana ramai orang yang tak cukup makan, di negeri dan tempat berhampiran

Kalau kita mendapatkan pendidikan yang baik, bersyukurlah
Kerana tak sedikit budak2 yang tak boleh bersekolah, walaupun ianya sangat diinginkan

Kalau kita memiliki tempat tinggal dan bilik untuk tidur, bersyukurlah
Kerana ramai yang terpaksa tidur di tempat yang tak layak atau di tepian jalan

Sebagai wujud syukur, jika ada kelebihan rejeki, berbagilah
Agar mereka yang memerlukan boleh tersenyum dan merasakan kebahagiaan
Dan dengan syukur itu, nikmat yang ada pun akan dilipatgandakan


Selamat menyambut Asyrul Awakhir dan Lailatul Qadr
Ramadhan Karim

KL, 27 Juli 2013

Wednesday, July 17, 2013

Rakaman resensi buku bersama Sayed Munawar RTM 1

Assalamu'alaikum,

Pada hari Rabu lepas, 17 July 2013, Syed Alwi Alatas dan beberapa penulis lainnya dari Galeri Ilmu dan PTS berada di Wisma Berita RTM 1 untuk melakukan rakaman resensi buku bersama Sayed Munawar dari RTM 1. Selain Syed Alwi Alatas (penulis buku 'Bersyukurlah Kerana-Nya), penulis-penulis lain yang hadir adalah Ust. Hamizul (penulis buku 'Diari Seorang Amil' - Galeri Ilmu), Ust. Rohidzir Rais (penulis buku 'Ensiklopedia Solat' - PTS), dan Ust. Zahiruddin Zabidi (penulis novel 'Nian Hati Salsabila'). Rakaman insya Allah akan ditayangkan pada hari Sabtu pagi, pk. 8.00 atau 9.30. Di bawah ini adalah gambar-gambar yang diambil selama kegiatan rakaman.




Syed Alwi Alatas baru sahaja tiba di Wisma Berita RTM 1 dan berjumpa dengan rakan-rakan penulis.




Berbincang dengan para penulis sambil menunggu sesi rakaman.




Bersama penulis dan staf penerbit.




Menjelang rakaman




Rakaman bermula




Rakaman resensi buku 'Bersyukurlah Kerana-Nya'.




Rakaman resensi buku 'Bersyukurlah Kerana-Nya' bersama Sayed Munawar.




Sesi rakaman bersama Sayed Munawar




Berbincang tentang buku 'Bersyukurlah Kerana-Nya'.




Apa pulak yang ditanyakan Sayed Munawar ni? :)




Sayed Munawar memang pandai membawakan sesi rakaman dengan santai dan tidak menegangkan.




Berbincang dengan Sayed Munawar selepas sesi rakaman.




Memberikan autograph untuk Sayed Munawar




Membubuhkan tanda tangan pada buku 'Bersyukurlah Kerana-Nya'.




Syed Alwi Alatas berfoto bersama Sayed Munawar dan Ust. Nasri dari Galeri Ilmu sebelum meninggalkan Wisma Berita RTM 1.

Bersyukurlah Kerana-Nya:Syed Alwi Alatas - luv2612


Dicatat oleh luv2612


Assalamualaikum w.b.t..

Sebenarnya buku ni aku nak bagi kat kawan. Tapi sebelum bagi nak baca gak sket. hehe..Maaf Kak Leha...

Bagi aku buku ni best sebab dia bagi kisah-kisah santai yang bersesuaian dengan tajuk. Kisah-kisah yang diutarakan mengingatkan kita betapa kita harus bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.

Kebolehan kita menyedut udara untuk bernafas, melihat pelbagai warna, bentuk dan rupa di sekeliling kita dan macam-macam lagi nikmat Allah yang tak dapat kita sebut kerana terlalu banyaknya nikmat Allah itu. Syukur Alhamdulillah.



Membaca buku ni mengingatkan aku pada peristiwa masa mula-mula aku diserang SLE (Lupus). Malam serangan tu aku terpaksa solat duduk kerana sendi dah rasa keras dan tak boleh bergerak..Esoknya suami terus bawa aku balik KK. Lebih kurang 2 minggu aku lumpuh (cuma bezanya kaki dan tangan masih rasa). Nak gerak kaki dan tangan semua suami yang tolong buat. SLE ni ada simptom kemurungan. Sepanjang sakit tu aku tak banyak bercakap. Rasa nak mati je (Astagfirullah al'Azim..nasib baik aku ingat aku ni orang Islam..).

Suami dukung aku, bawa berubat ke sana-sini..berurut, minta ustaz tolong bacakan ayat-ayat Quran, bawa ke klinik. Besarnya pengorbanan suami masa tu hanya Allah yang dapat membalas. Syukur sangat dapat suami yang baik. Bila dah tak boleh berjalan camtu, baru aku tau betapa nikmatnya berjalan dan betapa cemburunya aku melihat orang boleh ke sana-sini tanpa menyusahkan orang lain.

Akhirnya seorang ustaz, yang merupakan pensyarah di UMS cadangkan klinik Dr. Ahmad di Likas. Dr. Ahmad ni detail periksa pesakit dia. Memang terbaik. Kalau sebelum ni Doktor-doktor lain kata aku demam biasa la, simptom pregnant la, tapi Dr. Ahmad terus rujuk aku ke QEH setelah dia dapat kaitkan semua simptom dan blood test.

Hari kedua aku di QEH, Doktor terus bagi steroid 12 biji suh telan. Nak tau apa jadi pastu..? Gila beb..aku boleh jalan dengan selamba je pas makan steroid tu 6 biji (6 biji lagi aku suh suami buang..hehe..mengelat..)..

Aku cakap kat suami,
"agak-agak, kalau ayang makan 12 biji tadi mesti boleh berlarikan..?!"...hehe..

tapi, Ya Allah..rupanya berjalan ni nikmatnya tidak terkira. Aku sampai belek2 kaki tak percaya aku boleh berjalan semula..Alhamdulillah..

Hikmah sakit SLE ni..hmm..aku dah tau suami aku bukan suami sebarangan. Ya Allah, terima kasih kerana menetapkan jodohku dengannya.

So, berbalik kepada buku tadi..aku recommend korang membacanya. Harga Malaya RM 25.00, Borneo RM27.00..hehe bagitau harga siap-siap supaya korang boleh bajet duit..

http://kitapemburu.blogspot.com/2013/06/bersyukurlah-kerana-nyasyed-alwi-alatas.html

Ulasan buku motivasi: Bersyukurlah Kerana-Nya


Penulis meminati hasil karya penulis ini, Syed Alwi Alatas di atas kupasan dan garapan yang sangat menyeluruh dan pengolahan dari sumber yang boleh dipercayai.

Buku Tarbiah Rohani hasil terbitan Galeri Ilmu ini terbahagi kepada empat bahagian setebal 328 mukasurat,iaitu Nikmat yang melimpah;Belumkah datang masa untuk bersyukur;Bagaimana bersyukur dan juga diakhiri dengan bahagian Berbahagialah mereka yang bersyukur. Untuk bahagian pertama,Syed Alwi Alatas cuba menyedarkan pembaca, bahawa nikmat yang Allah limpahkan adalah terlalu besar ertinya dan ujian kekayaan dan kesusahan semuanya adalah nikmat yang menguji kekuatan iman hambanya.Maka Syed Alwi Alatas juga cuba menyedarkan pembaca bahawa kepentingan dan signifikan mensyukuri nikmat yang Allah berikan untuk kita sama2 menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi Allah.Maka, untuk bahagian ketiga, disusuli pula dengan kisah2 bagaimana untuk mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan serta faedah2 dan kelebihan mensyukuri nikmat Allah dikupas kemas dalam bahagian terakhir.

Sesungguhnya buku ini mempunyai kesinambungan daripada hasil penulisan Syed Alwi Alatas sebelum ini seperti buku 'Bila Allah Menduga Kita', 'Senyumlah', 'Apapun Masalahmu Ia Pasti Akan Berlalu' serta 'Mudahkan Jangan Susahkan'.Semua tajuk hasil penulisan beliau sememangnya amat sesuai dijadikan pedoman buat pembaca dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar minda dan akal manusia yang sentiasa terdedah dengan pelbagai kelemahan nafsi dan aqli.

http://knowledgesharingaroundtheworld.blogspot.com/2013/04/ulasan-buku-motivasibersyukurlah-kerana.html

Monday, June 10, 2013

Entri Tambahan ~ Bersyukurlah Kerana-Nya


Tajuk Buku : Bersyukurlah Kerana-Nya
Nama Penulis : Syed Alwi Alatas
Diterbitkan Oleh : Galeri Ilmu Sdn Bhd, Petaling Jaya Selangor.
Dicetak Oleh : 165 Print Solutions Sdn. Bhd
Bilangan muka surat : 327 Muka Surat

Buku tarbiah rohani ini, ditulis oleh Syed Alwi Alatas, yang bertajuk ‘Bersyukurlah Kerana-Nya’. Tujuan buku ini ditulis ialah berharap agar pembaca dapat memahami betapa pentingnya mensyukuri nikmat serta mengetahui perkara yang perlu dilakukan dalam bersyukur kepada Allah. Semakin banyak manusia bersyukur, akan semakin banyak kebahagiaan yang mereka rasai.

Setiap saat yang berlalu dalam kehidupan manusia, dilimpahi nikmat daripada Allah. Setiap udara yang disedut dan dihembus keluar, setiap degup dan nadi yang berdenyut dan setiap apa yang ada pada diri kita kecapi. Namun, berapa ramai antara kita yang memanjatkan syukur dan berterima kasih kepada Allah? Bersyukurlah kerananya membuka mata hati kita untuk melihat betapa banyaknya nikmat yang dikecapi lantas mendorong kita menjadi hamba-NYA yang bersyukur.

Justeru, penulis menerangkan tentang terlalu banyak nikmat yang dilimpahkan oleh Allah kepada umatnya. Sayangnya, manusia sering lalai dan lupa untuk bersyukur. Manusia lebih ingin mencapai perkara yang diimpikan daripada menghargai apa yang mereka ada. Setiap kata-kata yang ditulis menggambarkan betapa pentingnya untuk bersyukur supaya tidak menjadi hamba Allah yang kufur.

Kesimpulannya, buku jenis tarbiah rohani ini merupakan buku yang sangat berfaedah untuk dibaca bagi memberi kesedaran terhadap pembaca. Buku yang penuh kata-kata motivasi dan tarbiah ini haruslah dijadikan sebagai bacaan utama dalam melayari sebuah kehidupan sebagai hamba yang soleh.

http://aqilamohdnoor.blogspot.com/2013/05/entri-tambahan-bersyukurlah-kerana-nya.html

Tuesday, May 14, 2013

Bersyukurlah Kerana-Nya - Citratus

Buku adalah sebahagian wadah peringatan kepada pembaca. Sekurang-kurangnya saya merasakan ianya begitu. Tanpa membaca buku-buku, terutamanya yang berbentuk islami, yakni membawa mesej kepada mengingati Allah saya seakan sedikit jauh.

Hujung minggu lepas, saya berkesempatan membaca beberapa buah buku. Setelah agak lama mencari rentak. Alhamdulillah…

Antara yang turut dibaca ialah ‘Bersyukurlah Kerana-Nya’ hasil tulisan Syed Alwi Alatas ( 2013 ).



Saya juga telah membaca beberapa buah buku dari penulis yang sama. Kesimpulan, sukar menghampakan. Ia sentiasa wadah yang sangat baik.

Secara umumnya buku ini juga sangat membuka minda melihat aspek syukur dalam hidup kita. Untuk kita bermuhasabah melihat setiap nikmat kurniaan Ilahi kepada diri kita. Aduhai….tiada satu pun yang bukan datang dari-Nya. Maka tuntutan syukur itu sangat wajar malah apa yang kita lakukan tidak sepadan dengan segaala kurniaan Allah itu.

Masih mahu mengira nikmat tersebut? Pasti kita tidak akan habis mengiranya. Lihat sahaja diri kita, itu sahaja tak sanggup kita kehilangan setiap satunya. Lalu di mana kita halakan rasa syukur kita itu?

Saranan saya bacalah buku ini. Untuk kita melihat jauh ke dalam diri. Belajar untuk mensyukuri segala nikmat pemberian Allah. Melaksanakan tuntutan syukur itu pada jalan-jalan yang dicintai-Nya. Dengan syukur itu, mudah-mudahan mengamit redha-Nya jua.

Posted by Citratus at 5/11/2013 08:54:00 AM

http://citratus.blogspot.com/2013/05/bersyukurlah-kerana-nya.html