Thursday, February 20, 2014

Bersyukurlah kerana-Nya

Assalammualaikum wrh. Apa khabar pembaca sekalian. KA harap semuanya dalam keadaan yang sihat. Tulisan kali ini adalah untuk mengajak pembaca sekalian berfikir tentang nikmat dan bersyukur dengan nikmat yang dimiliki. Alhamdulillah, Allah memberikan KA peluang untuk menikmati salah sebuah daripada “nikmat-Nya” iaitu buku karangan Syed Alwi Alatas yang berjudul “Bersyukurlah Kerana-Nya”. Membaca sinopsisnya sahaja sudah mampu menggerakkan hati dan minda untuk menyedari serba sedikit tentang nikmat Allah, apatah lagi dengan menyelak setiap lembaran yang ada. 


“Setiap saat yang berlalu dalam kehidupan manusia, dilimpahi nikmat daripada Allah. Setiap udara yang disedut dan dihembus keluar, setiap degupan nadi yang berdenyut dan setiap apa yang ada pada diri kita adalah sejuzuk kecil daripada sekian banyak nikmat yang kita kecapi. Namun, berapa ramai antara kita yang memanjatkan syukur dan berterima kasih kepada Allah?”

Bersyukurlah kerana-Nya, ternyata memang berkesan untuk membuka mata dan hati kita untuk melihat betapa banyaknya nikmat yang diperolehi, lantas mendorong kita untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur. Antara perkara yang boleh dikongsi adalah, nikmat itu indah. Bagaimana? Apabila kita menyedari, segala apa yang pernah dan sedang dimiliki adalah kerana pemberian Allah (nikmat dari-Nya) pasti kita akan menjadi hamba yang benar-benar bersyukur. Untuk menjadi hamba yang bersyukur, sudah tentulah kita perlu melalui fasa yang tertentu.

Pertama: Mengetahui setiap apa yang dimiliki ataupun dirasai adalah nikmat Allah. Udara untuk bernafas, anggota badan yang lengkap serta sihat, akal yang waras, harta yang dimiliki, anak-anak yang ramai, masih bernyawa sehingga ke saat ini (dan selebihnya, KA beri peluang kepada pembaca untuk memikirkan nikmat yang kita rasai).

Kedua: Syukuri nikmat yang ada. Pernah dengar bait lagu ini? “Syukuri apa yang ada, Hidup adalah anugerah…”. Seperti dalam bait lagu ‘Jangan Menyerah’ini, Allah juga telah mengingatkan manusia tentang “Syukur” dalam kitabnya. Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali. Kebanyakannya dengan soalan bernada sinis. Tidak percaya? Ayuh selak tafsir.

“Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.” (Al-‘Adiyat: ayat 6). 
“Allah yang menjadikan malam untuk kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Ghaffir: 61). 

Cuba renungkan bersama mengapa Allah menekankan bahawa ramai sungguh manusia yang tidak mahu bersyukur? Adakah kita dalam golongan yang terlalu banyak dan tidak mahu bersyukur ataupun dalam golongan yang sedikit tetapi bersyukur? Bercakap tentang syukur, Mahukah pembaca mengetahui fakta yang menaroik tentang syukur? Fakta yang menarik tentang syukur adalah, selain mendekatkan hubungan dengan Allah, ia juga berfungsi sebagai “pengikat” ataupun “penarik” nikmat-nikmat tambahan daripada Allah. Bukankah ini mendorong kita untuk lebih bersyukur? Semakin banyak kita bersyukur, maka semakin banyak nikmat yang akan kita perolehi, bahkan berlipat ganda. Namun, jika kita kufur nikmat pula, nikmat itu semakin lama semakin menghilang dan akan bertukar menjadi azab. Bagaimana nikmat menjadi azab? Ia adalah kerana, dengan nikmat yang diperolehi itu, kita semakin jauh dengan Allah. Kita yakin, bahawa nikmat itu diperoleh dengan usaha dendiri dan bukannya dari Allah. Cuba bayangkan apa yang akan jadi, apabila kita tidak mahu bersyukur dengan Allah? Semakin banyak kita meninggi diri, semakin jauh kita dari rahmat Allah.  
 Nikmat -> Bersyukur (Tahu nikmat itu datang dari Allah = Timbul rasa syukur. Bersyukur dengan rasa syukur )-> Bahagia

Ketiga: Setelah wujudnya kesyukuran, maka akan tiba kebahagiaan. Hmm, tidak mustahil bukan? Sebagai contoh, udara yang kita sedut dan hembus saban waktu adalah diberi secara percuma dengan Allah. Kesihatan fizikal dan mental adalah dengan izin Allah, dan banyak lagi nikmat yang kita nikmati. Nikmat sebegini, mungkin kita hanya pandang sebelah mata sahaja, namun cuba bayangkan jika nikmat yang kita ada sekarang, ditarik semula oleh Allah. Bayangkan, Allah menghilangkan oksigen, bagaimana kita hendak meneruskan hidup setelah itu? Mustahil! Bagaimana kita mahu bernafas jika tiada oksigen, betul? Dan tahukah pembaca sekalian bahawa nikmat bernafas itu adalah serendah-rendah nikmat Allah?  Subhanallah, begitu besar nikmat yang telah Allah berikan kepada kita selama ini.Cuba bayangkan pula, anggota yang selama ini lengkap, terpaksa dipotong ataupun dibuang. Kita terpaksa hidup dengan keadaan sebegitu buat selama-lamanya. Adakah keadaan dahulu dan sekarang akan sama? Sudah tentu tidak, bahkan mungkin sukar. Sebab itulah, apabila kita bersyukur, kita pasti akan sentiasa rasa cukup. Untuk menikmati kebahagiaan ini pula, bukannya susah manapun. Fikirkan apa yang kita miliki sekarang dan bandingkan dengan keadaan yang dahulu. Bukannya fikirkan masa kini dan cuba bandingkan masa depan. Apabila kita sibuk memikirkan sesuatu yang belum dimilki, pasti kita akan berada dalam keadaan yang tertekan. Teramat mustahil untuk kita rasa bahagia apabila sedang tertekan.  

Hmm. Nikmat yang kita miliki ni sebenarnya banyak. Teramat banyak. Sukar untuk dihitung. Oleh itu syukurilah. Tahukah pembaca sekalian bahawa, ujian itu adalah nikmat dari Allah? Hah, antara nikmat yang kita perolehi daripada ujian adalah ; nikmat penghapusan dosa, nikmat pengajaran, nikmat pendorong untuk mendekati Allah, nikmat penggantian dengan sesuatu yang lebih baik dan banyak lagi. perkara yang menarik tentang nikmat pula, ia boleh menjadi ujian buat kita. Kadang Allah memberikan kita nikmat untuk melihat sama ada kita ini hamba-Nya yang bersyukur ataupun tidak? Jika kita beryukur, maka luluslah kita. Jika kita kufur, maka istidraj lah jawapannya (diazab dengan nikmat. Contohnya, semakin membuat maksiat tetapi semakin berharta = semakin berdosa). Maka banyakkanlah bersyukur. Bersyukur pula, bukan dengan mengatakan, “Alhamdulillah aku mendapat nikmat ini kerana aku layak.” Tetapi beryukurlah dengan cara ini, “Alhamdulillah, aku mendapat nikmat ini, meskipun aku tidak layak menerimanya.” Kenapa kita tidak layak menerimanya? Memang tidak layak pun. Sedangkan orang yang beribadah 500tahun pun belum mampu menebus ganjaran syurga untuk dirinya melainkan dengan rahmat Allah, inikan pula dengan kita? 


Akhir sekali, ini adalah cara untuk mengekspresikan rasa syukur kepada Allah: Memerhatikan tanda kekuasaan Allah, memerhati kejadian siang dan malam, memerhati perubahan positif pada diri, memerhati kesempurnaan hokum Allah. Tunggu apa lagi? Ayuh kita ekspresikan rasa syukur terhadap nikmat yang dimiliki untuk mengecap kebahagiaan.

Selamat membaca.

http://myblog-servantallah.blogspot.com/2014/01/bersyukurlah-kerana-nya.html